Friday, January 28, 2011

DOA PAS DAN AJARAN RASULULLAH

Di Tenang, PAS sekali lagi menggalakkan sesama umat Islam mendoakan kehancuran, bala berbanding berpeluk dan bersatu dengan puak yang benar-benar menentang perjalanan pengembangan syariah dan kemaslahatan genarasi Islam. Betapa kebencian mereka kepada orang Islam yang menjadi ahli parti lawan begitu tinggi. Mari kita teliti Firman Allah dan peristiwa-peristiwa yang sepatutnya dicontohi umat Islam dan bukan mentaklid buta pada "Tok Guru".

Diberitakankan oleh Anas satu ketika Rasulullah (SAW) dijemput untuk melawat Abdullah bin Ubay, baginda menaiki keldainya dan diikuti oleh sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah (SAW) menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah (SAW) sambil mencemuh “Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku”, lalu salah seorang sahabat dari golongan Ansar menjawab “Demi Allah, bau unta Rasulullah (SAW) adalah lebih harum dari bau mu”. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

(Nota: Abdullah bin Ubay adalah ketua golongan munafik, dan bukanlah sesuatu yang aneh untuk golongan munafik dan musyrik menggunakan lafaz “demi Allah” di zaman Jahiliyah kerana mereka masih mengakui keesaan Allah sebagai Rabb yang berbeza cuma mereka syirik terhadap Allah dalam sembahan-sembahan mereka)

Pengajaran :

Pihak yang bersengketa mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.

Pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai). Keutamaan menghentikan kekerasan sesama muslim adalah dari hadis Rasulullah (SAW):

“Bantulah saudaramu samada yang zalim atau dizalimi”. Seorang sahabat Anas r.a. terkejut lalu bertanya “Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?” Rasulullah (SAW) menjawab “Bantulah dia dengan menghentikannya dari menzalimi” (riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” Al-Hujuraat ayat 10

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan dalam Islam itu penting dan haruslah diutamakan.

Ikatan persaudaraan dalam Islam adalah yang terbaik sifatnya yang merangkumi aspek kasih-sayang, tolong-menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu-menipu dan tindas-menindas.

Sabda Rasulullah (SAW) dalam beberapa buah hadis Baginda (SAW) mengenai persaudaraan:

“Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya” (riwayat Muslim). Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah (SAW) bersabda “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah (SAW) bersabda “Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ayat 11. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11

Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.

Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Apatah lagi memanggil sesama muslim kafir, Islam plastik dan sebagainya. Hebat sangatkah amalan kita dan adakah kita pasti amalan kita diterima-Nya? Bersatulah umat ku! Mungkin kita berbeza pendapat, selagi kita mengucap dua kalimah syahadah, kita adalah bersaudara.