Showing posts with label Doa. Show all posts
Showing posts with label Doa. Show all posts

Tuesday, August 30, 2011

DOA DAN AZAN PADA 31 OGOS 1957

Saat Laungan Azan oleh Tan Sri Hassan pada 31 Ogos 1957

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ،

اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ. اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،

اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،

اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً.


Yang bermaksud, Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Oleh,

Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957. Sumber Jabatan Mufti Negeri Sembilan


Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman disertakan laungan "MERDEKA" 7 kali. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru oleh Ustaz Hassan Azhari (Tan Sri) dan tembakan meriam seratus satu das.

TARIKH 31 OGOS 1957

Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasysyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997).

Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.

Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Teknik falak yang dikatakan digunakan oleh Syeikh Abdullah Faim diceritakan di SINI

Sidang menyarankan kita bersyukur kepada Allah, berterima kasih kepada pemimpin era merdeka bersama para ulama yang bersatu-padu, perajurit-perajurit yang tidak didendang dan seluruh rakyat yang bekerjasama mematuh perlembagaan negara ke arah kemerdekaan sehingga apa yang kita nikmati selama 54 tahun ini.


Friday, January 28, 2011

DOA PAS DAN AJARAN RASULULLAH

Di Tenang, PAS sekali lagi menggalakkan sesama umat Islam mendoakan kehancuran, bala berbanding berpeluk dan bersatu dengan puak yang benar-benar menentang perjalanan pengembangan syariah dan kemaslahatan genarasi Islam. Betapa kebencian mereka kepada orang Islam yang menjadi ahli parti lawan begitu tinggi. Mari kita teliti Firman Allah dan peristiwa-peristiwa yang sepatutnya dicontohi umat Islam dan bukan mentaklid buta pada "Tok Guru".

Diberitakankan oleh Anas satu ketika Rasulullah (SAW) dijemput untuk melawat Abdullah bin Ubay, baginda menaiki keldainya dan diikuti oleh sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah (SAW) menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah (SAW) sambil mencemuh “Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku”, lalu salah seorang sahabat dari golongan Ansar menjawab “Demi Allah, bau unta Rasulullah (SAW) adalah lebih harum dari bau mu”. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

(Nota: Abdullah bin Ubay adalah ketua golongan munafik, dan bukanlah sesuatu yang aneh untuk golongan munafik dan musyrik menggunakan lafaz “demi Allah” di zaman Jahiliyah kerana mereka masih mengakui keesaan Allah sebagai Rabb yang berbeza cuma mereka syirik terhadap Allah dalam sembahan-sembahan mereka)

Pengajaran :

Pihak yang bersengketa mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.

Pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai). Keutamaan menghentikan kekerasan sesama muslim adalah dari hadis Rasulullah (SAW):

“Bantulah saudaramu samada yang zalim atau dizalimi”. Seorang sahabat Anas r.a. terkejut lalu bertanya “Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?” Rasulullah (SAW) menjawab “Bantulah dia dengan menghentikannya dari menzalimi” (riwayat Bukhari dan Muslim)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” Al-Hujuraat ayat 10

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan dalam Islam itu penting dan haruslah diutamakan.

Ikatan persaudaraan dalam Islam adalah yang terbaik sifatnya yang merangkumi aspek kasih-sayang, tolong-menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu-menipu dan tindas-menindas.

Sabda Rasulullah (SAW) dalam beberapa buah hadis Baginda (SAW) mengenai persaudaraan:

“Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya” (riwayat Muslim). Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah (SAW) bersabda “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah (SAW) bersabda “Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ayat 11. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11

Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.

Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Apatah lagi memanggil sesama muslim kafir, Islam plastik dan sebagainya. Hebat sangatkah amalan kita dan adakah kita pasti amalan kita diterima-Nya? Bersatulah umat ku! Mungkin kita berbeza pendapat, selagi kita mengucap dua kalimah syahadah, kita adalah bersaudara.