Showing posts with label aziz bari persoal titah sultan. Show all posts
Showing posts with label aziz bari persoal titah sultan. Show all posts

Friday, October 21, 2011

EDISI AZIZ BARI 1 : BEZA ANTARA UNISEL DAN UIA

Beruntungnya seorang Prof. di IPTA, pengajian sehingga PHD ditanggung kerajaan dan menikmati gaji lumayan walaupun terang-terang menyokong pembangkang. Andai anda di universiti dikuasai PR, walaupun neutral, dengan hanya menidakkan kehendak mereka sudah pasti disingkirkan. Dalam hal ini, antara Aziz Bari dan DYMM, BN juga yang disalahkan. KLIK

Petikan dari anwaraidc terima kasih buat Angin Perubahan

Dari kalangan pemimpin-pemimpin parti politik pula, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Md Akin dan ramai lagi turut mengecam tindakan yang diambil oleh UIAM ke atas Dr Aziz Bari.

Rektor UIA Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin tidak duduk diam. Beliau dengan segera pada tengah hari Jumaat memanggil satu sidang akhbar bagi membetulkan persepsi dunia luar ke atas apa yang berlaku.

Katanya, tindakan penggantungan yang dikenakan ke atas Dr Aziz Bari sebenarnya bukanlah satu bentuk hukuman tetapi ia adalah sekadar tempoh untuk memberi tunjuk sebab berhubung kenyataan Aziz berkaitan titah Sultan Selangor, Sultan SharafuddinIdris Shah baru-baru ini.

Dr Zaleha juga menjelaskan, penggantungan khidmat Abdul Aziz berkuat kuasa dari 19 sehingga 25 Oktober ini adalah merupakan penggantungan bergaji penuh.

“Penggantungan itu dibuat bagi melicin dan mempercepatkan siasatan tanpa sebarang gangguan bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau berhubung kenyataan yang dikeluarkan itu secepat mungkin,” kata Dr Zaleha sambil menegaskan tindakan yang dibuat ketika ini (penggantungan dan penyiasatan) adalah urusan UIA dan tidak mahu campur tangan pihak luar.

Dr Zaleha juga menjelaskan, Peraturan Tatatertib UIA tidak menetapkan apa-apatempoh untuk penggantungan “tetapi apabila beliau (Dr Aziz) sudah menjawab surat tunjuk sebab itu, barulah kita akan memastikan sama ada wujud atau tidak alasan-alasan untuk meneruskan tindakan tatatertib kepada beliau.” (sekiranya ada).

“Peraturan 15 dalam Peraturan Tatatertib Kakitangan UIA memperjelaskanbahawa kebebasan ahli akademik membuat sebarang kenyataan umumhendaklah tidak bercanggah dengan kepentingan universiti,” katanya.

Beliau menambah, siasatan dan surat tunjuk sebab Abdul Aziz selepasitu akan diperbincangkan dalam Tribunal Universiti.

Jadi kesimpulannya ialah, sementara pihak- pihak tertentu apatah lagi golongan akademik menegaskan bahawa ahli akademik atas sifat semulajadi kerjaya mereka harus dan wajar diberi ruang untuk menyatakan pendapat dan pandangan tetapi pada masa yang sama, pihak pengurusan UIAM berpendapat apa juga tindak-tanduk kakitangan mereka sama ada dari segi pendapat dan juga perbuatan sementara dibenarkan berbuat demikian pada masa yang sama adalah juga tertakluk kepada peraturan dan aspirasi universiti.

Pandangan ini juga sebenarnya tidak salah. Dalam mana-mana pertubuhan pun sama ada politik , bukan politik, kebajikan mahupun kesukarelawan, tetap ada peraturan dan undang-undang lebih-lebih lagi jika sesuatu perbuatan yang dilakukan itu dilihat bercanggah dengan kepentingan badan itu sendiri.

Dan inilah yang berlaku kepada Universiti Selangor (Unisel) pada tahun 2008 dan kemudiannya sekali lagi pada Ogos tahun ini apabila naib canselornya ditamatkan perkhidmatan (tanpa dinyatakan sebab) dan seorang lagi meletakkan jawatan, khabarnya akibat tekanan politik.

Walaupun pemecatan dan peletakan jawatan mereka tidak jelas dan samar-samar tetapi tindak tanduk mereka dilihat oleh pihak pentadbiran dan pemilik sebagai tidak selari dengan aspirasi universiti itu.

Dalam kes pertama yang berlaku pada Jun 2008, Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus telah ditamatkan perkhidmatannya selaku naib canselor oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga pengerusi Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd iaitu pemilik dan pentadbir Unisel tanpa menyatakan sebarang sebab.

“Surat itu (penamatan khidmat) tiada kepala surat (letter head) kerajaan negeri tetapi ia datang daripada menteri besar Selangor menamatkan perkhidmatan saya dengan memberi notis sebulan. Surat itu juga tidak dinyatakan sebarang alasan berhubung penamatan perkhidmatan saya,” kata Prof Dr Razali Agus.

Dalam kes yang kedua pula, Datuk Dr Rosti Saruwono terpaksa melepaskan jawatannya setelah dikatakan menerima tekanan politik daripada kerajaan negeri dan juga pihak dalam Unisel setelah beliau tidak bersetuju dengan surat yang beliau terima daripada pejabat menteri besar memintanya supaya menamatkan perkhidmatan tiga pegawai Unisel tanpa melalui proses tatatertib dan juga peraturan dalaman.

Yang menghairankan, dalam kedua-dua kes melibatkan bekas naib canselor Unisel itu dan juga tiga kakitangan Unisel yang diarahkan dipecat tanpa melalui proses tunjuk sebab atau perbicaraan dalaman, tidak ada pula tunjuk perasaan atau kenyataan protes atau kritikan daripada parti-parti politik sama ada DAP, PKR mahupun PAS.

Tidak ada suara-suara yang mengatakan telah berlaku atau wujud campur tangan politik atau kerajaan negeri dalam urusan akademik di Unisel itu.

Naib-naib canselor dan kakitangan Unisel seolah-olah seperti keseorangan di dalam menghadapi tindakan daripada pihak atasan. Apakah ini kerana yang mengambil tindakan atau yang memberi arahan supaya tindakan diambil adalah menteri besar dari sebuah kerajaan yang didokong oleh DAP, PKR dan PAS?

Tetapi dalam kes Dr Aziz Bari ini pula, apakah beliau mendapat sokongan daripada DAP, PKR dan PAS kerana pensyarah itu sering kali memberi kenyataan atau pandangan yang cenderung menyebelahi mereka?

Tidak salah dan tidak apa jika hendak memihak kerana ia adalah hak demokrasi sesiapa sahaja tetapi jika hendak bermain di gelanggang yang adil sepertimana yang sering dilaung-laungkan oleh mereka yang menyokong Dr Aziz Bari maka eloklah juga sokongan yang sama turut diberikan kepada bekas-bekas naib canselor dan pensyarah Unisel yang ditamatkan perkhidmatan, diberi tekanan supaya melepaskan jawatan dan diarahkan supaya dipecat tanpa melalui proses sepertimana yang sedang dilalui oleh Aziz Bari sekarang.

Jika ini dapat dilakukan barulah adil namanya. Sekurang-kurangnya dalam kes Dr Aziz Bari, beliau diberi peluang untuk menjawab surat tunjuk sebab dan bukannya terus dipecat, ditamatkan perkhidmatan atau dilucutkan jawatan sepertimana yang terjadi di Unisel.

Di sebalik segala kecaman yang dilemparkan ke atas UIAM, mereka telah membuktikan bahawa mereka tidaklah sekejam Unisel yang dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Malah UIAM selaku majikan berhak memberikan surat tunjuk sebab (bukannya surat pemecatan atau tamat perkhidmatan) ke atas mana-mana kakitangannya jika mereka merasakan tindak tanduk kakitangan tersebut bercanggah dengan aspirasi universiti itu sendiri.

Mana-mana pekerja pun tidak kira apa taraf kedudukkannya tidak terlepas daripada tertakluk kepada peraturan dan prosedur operasi standard. Jika rasa tidak mahu terikat dengan apa-apa peraturan dan prosedur, adalah wajar dan lebih baik tidak bernaung di bawah mana-mana panji mahupun organisasi.

Jadilah seperti Sasterawan Negara, A. Samad Said – bebas ke mana-mana, bebas menyatakan pandangan dan pendapat dan bebas naik ke pentas apa juga yang dirasakan serasi dan sesuai dengan jiwa dan hati nuraninya kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana majikan dalam dunia ini.

PEMBONGKARAN DISEBALIK DEMO DI UIA KLIK

Pautan : EDISI AZIZ BARI 2 : TAK TAHU NAJIB KE ARAB SAUDI, DIKATAKAN TAKUT


Monday, October 10, 2011

DAULAT TUANKU. KRONOLOGI PEMERIKSAAN JAIS DI DUMC

Sidang tidak memahami kaitan kempen HIV/AIDS dengan soalan berbentuk akidah yang diberikan pada hadirin Islam. Sidang sama sekali menghormati penganut agama lain dalam mengamalkan amalan agama mereka tetapi jika ia cuba menyebarkan agama mereka pada saudara beragama Islam, ia sama sekali tidak menghormati semangat keharmonian rakyat dan melanggar perlembagaan negara. Perlembagaan Negara memperuntukkan Artikel 11 (4) dengan memberi kuasa kepada negeri dan juga kerajaan persekutuan untuk menyekat perkembangan agama lain di kalangan orang Islam.

BAHAWASANYA Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang Negeri boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganut ugama Islam. DAN

BAHAWASANYA adalah ekarang dikehendaki supaya diperbuat suatu undang-undang untuk mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan-kepercayaan ugama bukan Islam di kalangan orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Dan mengenai hujah Sdr Khalid Samad KLIK, seolah-olah JAIS menyerang gereja dan tidak menghormati agama lain adalah silap. Nas yang diberikan bahawa Rasulullah mengajar umat Islam menghormati rumah ibadah waima ketika perang adalah benar tetapi Khalid Samad tidak menyatakan bahawa adalah wajar pihak berkuasa agama yang mendapat maklumat lengkap menyelamatkan akidah saudara seagama kerana murtad adalah sesuatu yang serius sehinggakan Saidina Abu Bakar R.A memerangi golongan yang murtad.

Benar, sultan tidak maksum, tetapi mengapa dikaitkan dengan keputusan DYMM?
KLIK

Sama-sama kita nilaikan video pemeriksaan JAIS yang bagi sidang tiada langsung kekerasan dijalankan malah mereka menipu dengan mengatakan tiada Muslim yang hadir dalam majlis ini.


Kronologi kisah ini diceritakan oleh blogger GAP KLIK

Akhir sekali, Sidang menjunjung kasih pada DYMM Sultan Selangor atas titah baginda mengenai isu ini untuk dipatuhi oleh sekalian rakyatnya. Tahniah juga pada Dr. Hassan Ali selaku EXCO bertanggungjawab dalam hal ini, pimpinan UMNO Selangor KLIK, Sdr Zulkifli Nordin, NGOs dan pihak lain yang konsisten dalam hal ini.

"Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis ‘Thanksgiving Dinner’ yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.
Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.
Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.
Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.
Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain. Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam. Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni. Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan. Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.
Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil. Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan. Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.
Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.
Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini. Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj
Sultan Selangor Darul Ehsan
12hb Dzulkaedah 1432Hijrah
10hb Oktober 2011