Sunday, February 5, 2012

TEKNIK ANWAR KUASAI UMNO YANG DIGUNA PADA PAS KINI

Mahathir pun sukar menyingkirkan Anwar. Apatah lagi PAS.
Banyak sebab Anwar disingkir oleh Mahathir, tetapi PAS kena menerima akibat kerana membiarkan parasit-parasit ini menyusup masuk.

APA yang sedang berlaku kepada Pas sekarang hampir menyerupai krisis yang menggugat pucuk pimpinan UMNO lebih 12 tahun lalu. Penerapan anasir-anasir Datuk Seri Anwar Ibrahim menggoncang Pas dan akan menghancurkannya jika kesedaran tidak mengatasi sentimen yang menutup akal dan mata terhadap kebenaran.

Bezanya cuma Anwar tidak sempat menukarkan nilai dan prinsip asal UMNO walaupun percaturan politiknya berjaya menyingkirkan semua halangan kepada kemaraannya, tetapi Pas telah berjaya dikuasainya sehingga menukarkan keperibadian, memesongkan akidah, menjadikan kepimpinan ulama hanya sebagai patung-patung dan Pas menjadi ultra liberal.

Halangan besar kepada Anwarisme iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Hasan Ali manakala Azizan menunggu giliran. Kepimpinan ulama umpama melukut di tepi gantang walaupun sesekali cuba tunjukkan Al ulama Warisatul Ambia (ulama mewarisi kenabian).

Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa masuk Anwar ke dalam UMNO pada 1982 dengan harapan akan menggelapkan masa depan Pas tetapi 18 tahun kemudian tangannya sendiri digigitnya.

Dr. Mahathir hampir keseorangan dalam saat kecemasan menghadapi cabaran genting terhadap kepimpinannya. Yang tinggal hanya mereka yang bersiap sedia untuk mengikut arus.

Semua ini berlaku menerusi taktik terancang, penguasaan institusi strategik, mengambil kuasa ke atas media arus perdana, elektronik dan cetak, memperkecilkan projek-projek mega Perdana Menteri, membangkitkan amalan kronisme, memperkenalkan Islam Madani untuk menyaingi gagasan Penerapan Nilai-Nilai Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dinafikan sebagai inisiatif Dr. Mahathir, persengketaan dengan Singapura didakyah sebagai berpunca daripada Dr. Mahathir dan pelbagai lagi tikaman dari dalam untuk menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinannya.

Dr. Mahathir hanya tersedar pada saat terakhir, dalam keadaan lemas dan cemas, tetapi kekuatan minda dan jiwa luar biasa yang ada padanya dengan bantuan segelintir kawan-kawan yang masih setia telah membolehkan beliau timbul semula dan berenang mengharungi badai serta mengalahkan pencabarnya.

Apabila Datuk Kamaruddin Jaafar bekas Setiausaha Agung ABIM dan Setiausaha Politik Anwar menyertai Pas dan dengan pantas mendapat tempat sebagai Setiausaha Agung Pas, maka kelihatan jelas strategi penyusupan yang cukup licin untuk mengAnwarismekan Pas.

Tetapi barangkali Pas terhidu bahaya maka langkah seperti menarik benang dalam tepung diambil. Kamaruddin telah digantikan dengan Datuk Mustafa Ali, seorang nasionalis yang merupakan survivor handal dalam Pas.

Mustafa telah selamat mengharungi ombak politik apabila pimpinan nasionalis cauvinis Pas digulingkan oleh kepimpinan ulama dogmatis dan seterusnya dalam keadaan Pas berada di lembah ultra liberal.

Menguasai

Grand design Anwar dari awal penyertaannya untuk menguasai UMNO dimudahkan oleh kepimpinan Dr. Mahathir yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya tetapi akhbar Utusan Malaysia tidak turut terperangkap dalam strategi medianya yang diinisiatifkan oleh orang kuatnya daripada Berita Harian. Namun keadaan berubah setelah berlaku perubahan pucuk kepimpinan Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Kelemahan Dr. Mahathir di sebalik semua keulungan, kepintaran, kebijaksanaan, kecekapan dan keberaniannya yang mengagumkan rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia ialah beliau boleh terpengaruh dengan orang yang karismatik, petah bercakap dan pandai berdrama dengan idea-idea besar.

Kebanyakan wartawan dapat mencium lebih dahulu perasaan tidak sabar Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.

Dengan berasaskan kepada semua maklumat yang sahih, suatu hari saya memberitahu Dr. Mahathir tentang ancaman yang sedang di dihadapinya di belakang tabir tetapi beliau bertanya kepada saya, “Zam, yang baik tentang Anwar tak adakah, semuanya hanya buruk belaka”.

Dalam program Hal Ehwal Semasa terbitan RTM pada April 1993, Rosnah Majid daripada Utusan Malaysia mendedahkan strategi Anwar yang ketika itu baru menjadi Menteri Kewangan untuk mencabar Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Program itu disertai juga oleh Rijal Arbee daripada Berita Harian sebagai panel dengan Dr. Kamal Salih daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sebagai moderator.

Rosnah telah bertanya; Apakah benar saudara Anwar akan mencabar Ghafar untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO? Anwar mengalih pertanyaan itu dengan jawapan, “Apa gunanya dibangkitkan pekara ini sekarang sedangkan pemilihan pucuk pimpinan akan berlaku hanya pada November.”

Tetapi apabila Rosnah mengemukakan bukti bahawa beliau telah mengatur strategi yang cukup rapi dengan meletakkan orang-orangnya dalam semua media termasuk Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian untuk mempromosinya, Anwar kemudian naik berang dan terus menuduh pertanyaan Rosnah itu mewakili orang yang benci dan iri hati dengannya.

Taktik inilah juga yang digunakannya sehingga sekarang apabila ada pertanyaan wartawan yang mencabar kredibiliti atau mendedahkan pembohongannya. Sudah lumrah mereka mendengar jawapan balas dengan pertanyaan daripadanya, “Oh, awak dari mana? Daripada UMNO, alat Barisan Nasional,” dan sebagainya.

Banyak peristiwa yang menimbulkan keraguan tentang penghayatan Anwar dengan nilai dan aspirasi UMNO.

Tentangan

Demikian juga dalam isu penentangan terhadap pertubuhan ajaran sesat Al-Arqam. Walaupun Perdana Menteri menyokong kuat perjuangan Utusan Malaysia untuk mengharamkan Al-Arqam tetapi akhbar Berita Harian menyokong gerakan itu dengan pelbagai publisiti dan menganjurkan majlis baca puisi Al-Arqam di PWTC. Anwar menjemput pemimpin Al-Arqam dan ahlinya berbuka puasa di kediaman beliau di Damansara bersama-sama dengan para wartawan dan pengarang kanan akhbar.

Apabila saya memberitahu Dr. Mahathir bahawa Utusan Malaysia tidak akan menghentikan penentangan terhadap Al-Arqam kerana berseorangan dalam hal ini, Dr. Mahathir meminta ia diteruskan kerana beliau tetap menyokong tetapi tidak menyedari siapa yang sedang menikam dari belakang.

Apabila Anwar menguasai Utusan Malaysia sepenuhnya, rombongan Al-Arqam telah melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu dan diberikan sambutan. Namun akhirnya Al-Arqam telah diharamkan.

Harus diingatkan banyak peristiwa ‘gunting dalam lipatan’ hanya terdedah bila Dr. Mahathir menyedari kesilapannya tetapi beliau terpaksa membayar harga politik yang sangat mahal untuk menyingkirkan seorang yang amat dipercayai dan disayanginya pada saat-saat kedaulatan negara hampir tergadai kepada kuasa asing dan maruah bangsa yang dibinanya sejak lebih 20 tahun hampir terpadam.

Saya pernah memberitahu Dr. Mahathir secara terbuka dalam tulisan dan juga dalam ucapan semasa menjadi Menteri Penerangan dan sebelumnya, yang disiarkan oleh media cetak bahawa kesilapan besar beliau adalah membawa masuk Anwar ke dalam UMNO, tetapi beliau menjawab, “Mana saya tahu dia akan berbuat demikian”.

Sebenarnya tidak semua orang Pas yang percaya dan senang dengan Anwar, baik yang telah tersingkir atau yang masih berada di tampuk kuasa parti atau kerajaan.

Setelah saya kalah dalam Pilihan Raya 2008, saya telah menjemput Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk melancarkan buku Ulama Terbilang Negeri Kedah, Allahyarham Haji Abdul Rahman Merbok, yang diterbitkan oleh JASA semasa saya menjadi Menteri Penerangan.

Azizan menyetujuinya kerana saya rakan semaktab dengannya dan Haji Abdul Rahman ialah guru bapanya.

Tetapi suatu yang tidak dapat saya lupakan hingga hari ini ialah bisikan Azizan kepada saya di majlis itu yang diadakan di surau pekan Merbok, “Buat apa RTM buat siaran langsung debat dengan Anwar di Dewan Bahasa? Saya menjawab, “Saya bukan lagi Menteri Penerangan”.

Penerapan anasir-anasir Anwar ke dalam Pas telah memesongkan parti itu daripada jati dirinya serta kemurnian prinsip agung perjuangan Islamnya. Walaupun Anwar hanya menarik tali dari luar dan tidak berada di dalam Pas seperti dia berada dalam UMNO tetapi kesannya kepada Pas lebih buruk lagi.

Pas telah menjadi begitu toleran terhadap segala kemaksiatan yang menjadi bahan cacian dan kutukan terhadap UMNO sebelumnya, daripada penjualan arak, persundalan, murtad, seks songsang dan terakhir, penerimaan kepada kepimpinan yang mahukan pengiktirafan terhadap keselamatan Israel.

Sudah terlalu lewat untuk Pas kembali ke pangkal jalan. Pas tidak mempunyai seorang manusia luar biasa yang berkaliber besar seperti Dr. Mahathir dalam UMNO yang berupaya mengumpul serta memulih kekuatannya dengan pantas, tegas dan nekad untuk timbul semula bagi menentang dan memusnahkan musuh dalaman.

Tidak ada siapapun dalam Pas yang akan dapat menandingi kekuatan Anwar. Para ulama pun telah menjadi umpama patung-patung.

Apa yang dapat diucapkan kepada Pas dalam saat-saat kesedihan menyaksikan penyerahan dirinya kepada segala kemungkaran hanyalah “Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya"

- Zainuddin Maidin, Mingguan Malaysia 5/2/2012