Thursday, June 10, 2010

USUL PEMUDA BERKENAAN ISU JUDI DAN SELANGOR KINI

Pergerakan Pemuda UMNO.
Bahagian Sabak Bernam,
45200 Jalan Raja Chulan,
Sabak Bernam,
Selangor Darul Ehsan

USUL PEMUDA CAWANGAN SUNGAI AIR TAWAR UNTUK PERSIDANGAN TAHUNAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN SUNGAI AIR TAWAR KALI KE-22 TAHUN 2010 PADA 22 MEI 2010

Usul Agama

1. PENARIKAN BALIK KELULUSAN LESEN JUDI SEMPENA PIALA DUNIA BOLASEPAK 2010

Wakil dari Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Air Tawar
Diterima sebulat suara.

Menyedari cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen bagi membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan. Sebagai mana yang dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, alasan utama kerajaan adalah untuk membendung aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Menginsafi cadangan ini ternyata mendapat bantahan majoriti rakyat beragama Islam dan memberi satu liabiliti besar kepada UMNO khasnya yang menjadi cercaan rakyat. Tindakan ini merupakan satu lagi tindakan semberono segelintir pihak pimpinan yang menidakkan pendapat alim ulama dan ahli-ahli akar umbi parti. Selain itu, keputusan ini bercanggah dengan Fasal 3.3. Perlembagaan UMNO iaitu menegakkan dan mendaulatkan agama Islam dan menghormati agama lain.


1.1 Pengharaman Judi oleh Semua Agama Dominan di Malaysia.

Dalam konteks ini Islam jelas mengharamkan perjudian sebagaimana tercatat dalam surah Al-Maidah ayat 90-91 dan Surah Al-Baqarah ayat 219.

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, *berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Begitu juga dalam agama Kristian, perjudian dikutuk keras sebagai amalan diskriminatif yang menguntungkan satu pihak dan menganiaya satu pihak yang lain hingga meleburkan nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan seseorang sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya The New Testament (Mark 12:31).

Bagi agama Buddha pula, perjudian dikutuk sebagai amalan yang jahat kerana ia menuntun kepada pelbagai natijah negatif yang mampu memporak-perandakan kehidupan. Dalam sebuah teks Buddha, Digha Nikaya, disebutkan bagaimana amalan perjudian mampu menjelmakan krisis moral yang parah termasuklah mencetuskan kebencian sesama manusia, menghancurkan harta benda dan menghakis kepercayaan masyarakat dan kerabat terhadap seseorang.

Pengharaman judi turut disebut dalam teks agama Hindu yang dikaitkan dengan pelbagai krisis nilai dan pendangkalan moral seperti hancurnya nilai amanah, hilangnya perasaan kasih sayang pada masa yang sama membiak amalan penyelewengan, menggejala nilai pembaziran dan membudaya pengabaian tanggungjawab dalam masyarakat (Tirukkural, 94: 931-940).

Inilah sebahagian daripada coretan perspektif amalan berjudi yang dipetik daripada pelbagai agama besar yang mewakili majoriti penduduk Malaysia. Secara keseluruhannya semua agama jelas menolak amalan berjudi yang lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.

Implikasi dan Persepsi Rakyat

Menurut rasional yang diberikan Dato` Dr. Awang Adek yang dirakamkan oleh akhbar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."
Pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Ini selaras dengan Surah Al-Baqarah Ayat 219.

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-Baqarah : 219)

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Sepatutnya kawalan adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa pihak kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka. Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan. Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin membenarkan benda yang tidak benar. Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar dan mengawal “Mat Rempit” yang membahayakan di atas jalan raya secara haram, maka kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen merempit kepada “Mat Rempit” di atas jalan raya awam. Semua “Mat Rempit” mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak gelap untuk dijadikan terang tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

Sehubungan dengan itu, pihak pemuda UMNO Cawangan Sungai Air Tawar merasakan amat kesal dengan tindakan “mensabotaj” UMNO yang cuba untuk membersihkan imejnya oleh pemimpinnya sendiri. Perkara berikut disenaraikan untuk pertimbangan:

1. Keputusan memberi lesen judi ini diTARIK BALIK serta merta untuk kepentingan Islam dan kemaslahatan UMNO itu sendiri memandangkan Piala Dunia bermula pada Jun ini.
2. Menggesa peranan lebih besar Biro Agama UMNO, Menteri Hal-Ehwal Agama Islam, JPM, Senator Dato` Seri Jamil Khir Baharom dan alim ulama dalam sesuatu keputusan.
3. Mengambil tindakan berunsur amaran kepada pihak terbabit yang dilihat menyalahi Fasal 3.3 perlembagaan UMNO dan mensabotaj parti.
4. Menggesa agar UMNO terus kukuh dalam usaha menegak dan mempertahan syiar Islam di Malaysia dan menghormati pengamalan agama-agama lain.

Usul Agama

2. PENGEDARAN NASKHAH “SELANGORKINI” MILIK PAKATAN RAKYAT DI MASJID-MASJID SELURUH SELANGOR

Wakil dari Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Air Tawar
Diterima sebulat suara.

Menyedari masjid atau dikenali Rumah Allah adalah suatu tempat untuk umat Islam beribadah dengan tenang, menuntut ilmu dan simbol perpaduan umat Islam itu sendiri. Ini dibuktikan dengan usaha Rasulullah SAW dengan membina masjid Quba` semasa peritiwa perjalanan Hijrah, mendahului perkara-perkara lain. Oleh itu, keutamaan kerajaan Barisan Nasional yang membina banyak masjid di seluruh Selangor amat menepati kehendak Islam dan Perlembagaan Malaysia walau ia pernah dipersoal oleh rakan seperjuangan PAS iaitu parti cauvinis, Democratic Action Party (DAP) di Parlimen.

Menginsafi bahawa kesucian masjid dan perpaduan umat Islam adalah sesuatu yang wajib dipertahankan. Naskah Selangor Kini yang diedar setiap minggu pertama dan ketiga setiap bulan mengandungi artikel-artikel propaganda Pakatan Rakyat selain cercaan dan fitnah kepada saudara seagama khasnya kepada ahli dan pimpinan UMNO, apatah lagi ia diedar di masjid-masjid.

Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat baginda, "Tahukah kamu siapa yang mufls" Jawab mereka, "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta" Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam api neraka (Riwayat Muslim)

Selain itu, turut dimuatkan di dalam naskhah itu ialah gambar-gambar tidak menutup aurat terutamanya pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak sesuai ditatap dalam kawasan sesuci masjid. Sebelum ini, pihak Pakatan rakyat telah membenar Exco Kerajaan Negeri bukan Islam, Xavier Jeyakumar untuk berucap di hadapan sebuah masjid di Klang. Mereka khususnya PAS tidak menggunakan politik untuk kepentingan agama tetapi menggunakan agama dan masjid untuk kepentingan mereka. Tindakan terus menerus tidak menghormati masjid oleh Pakatan Rakyat ini adalah bercanggah dengan Pekeliling Masjid oleh Majlis Agama Islam Selangor yang dititahkan DYMM Sultan Selangor.

“Perkara 2 : Penggunaan Masjid

Masjid tidak boleh digunakan sebagai:
1. Gelanggang politik yang boleh menyakiti dan memecahbelahkan perpaduan ummah.
2. Hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan

Kaedah 34(1) & 2, Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan ) 2001”


Implikasi buruk daripada tindakan pengedaran naskah ini secara berleluasa ialah konsep perpaduan sesama umat Islam semakin renggang. Masjid dijadikan wadah caci-maki, benci membenci dan dijauhi oleh masyarakat. Masjid yang selama ini dibawah pemerintahan Barisan Nasional, tenang untuk beribadah kini terus disalahguna untuk kepentingan pembangkang. Sejarah Rasululullah SAW meruntuhkan Masjid Dhirar yang dibina untuk memcahbelahkan Umat Islam menjadi pengajaran terbaik betapa perpaduan sesama Islam itu adalah yang utama daripada segala-galanya. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 107.

“Mereka yang menjadikan masjid untuk membahayakan, untuk menunjukan kekufuran, untuk memecahbelahkan antara orang-orang Mukmin, untuk menjadi tempat mengintip bagi mereka yang memusuhi Allah dan Rasulnya sebelum itu, mereka bersumpah kami bertujuan baik sedangkan Allah mengingatkan mereka berdusta.” (Surat At-Taubah Ayat 107)


Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Sungai Air Tawar mengusulkan beberapa tindakan:

1. Mendesak pihak pimpinan pemuda Bahagian Sabak Bernam dan Negeri Selangor agar menyediakan memorandum dan laporan polis terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab di atas pengedaran Selangor Kini ini.
2. Memaklumkan secara berhemah kepada nazir-nazir masjid agar mematuhi arahan DYMM Sultan dan Majlis Agama Islam Selangor.
3. Pertemuan dan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak yang bertanggungjawab.
4. Pemuda UMNO sentiasa bertindak sebagai pemantau dan tindakan proaktif terhadap usaha memperalat institusi masjid yang semakin menular di Selangor.

No comments:

Post a Comment