Wednesday, October 5, 2011

JAWAPAN KEPADA HASIL DOKTRIN PAKATAN RAKYAT DI KALANGAN ANAK MUDA

Anak Muda menjadi sasaran penyebaran doktrin PR tetapi golongan ini diharap lebih bijak mendapatkan maklumat dari semua arah dan berfikir rasional ke arah yang perancangan dan agenda yang praktikal dan sama-sama menyumbang ke arah kejayaan diri, keluarga dan negara.

Terima kasih sahabat Malaysian News

Eksploitasi Informasi : Kekeliruan Jadi Nadi

Letusan era informasi tanpa batasan lewat abad ke – 20 telah menyaksikan ratusan kebangkitan, kejatuhan malah keberlangsungan pelbagai aspek dalam kehidupan masyarakat dunia. Politik, ekonomi, industri, edukasi dan sebagainya kini semua hanya ‘seklik’ jauhnya dari gapaian. Selari dengan perkembangan ini, bilangan oportunis juga semakin berani untuk mengatur langkah dengan lebih berani. Tiada lagi segan silu, tiada lagi takut andai diketahui. Apa yang penting, periuk nasi perlu diisi, aspirasi kehidupan mesti ditujui.

Malaysia antara negara yang termaju dari segi teknologi menggapai informasi maya. Kita harus rasa bangga. Kita harus rasa bertuah. Namun begitu, rasa kesal tidak dapat diketepi bila medium magik ini disalahguna untuk kepentingan golongan oportunis. Memperalatkan segelintir golongan yang kusut dek cabaran kehidupan untuk kepentingan mereka. Pengeksploitasi ini tidak menipu. Tapi mereka memilih apa yang mahu disampaikan dengan tujuan memecah halangan yang melintang di jalan mereka.

Ketika berbicara dengan seorang saudara, beliau meluahkan rasa bencinya terhadap kerajaan. Bila ditanya mengapa? Katanya gaji di Malaysia terlalu murah. Soalan lanjut saya, berbanding siapa? Sesiapa sahaja jawabnya selamba. Beralih soalan, katanya hutang Malaysia mencecah RM240 bilion. Bila ditanya tahukah berapa rizab negara dalam tempoh yang sama (RM415bilion), jawabnya entahlah. KLIK

Keluhnya lagi, lihat Dubai, negara kaya minyak sama seperti Malaysia, rakyatnya bergaji besar, pekerja impot juga digaji besar. Saya hanya mampu menggeleng kepala kerana sudah pasti dia tidak tahu penggangguran di Dubai kini mencecah 12% berbanding Malaysia sekitar 3%. Sudah pasti juga dia tidak tahu baki akaun negara Arab itu pada 2010 hanya RM24 bilion berbanding Malaysia RM103 bilion.

Di akhir bualan, saya bertanya, apakah dia merasakan dia kini digaji rendah? Apakah dia rasa susah hidup di Malaysia? Adakah dia meradang kerana sukar mendapat pekerjaan? Sambil memegang I-Phone dan tiket wayang terbaru (maklumlah selau update), beliau berat untuk berkata TIDAK, mengetahui mata saya menjeling I-Phone nya. Katanya, keluh kesahnya datang hanya kerana apa yang dibaca dan apa yang dicerita kepadanya. Malah dia bersyukur sebagai OKU, dia dapat menjawat jawatan pegawai kerajaan.

Saya kehilangan kata-kata. Generasi pasca kemerdekaan kini semakin sukar tugasnya untuk memangkah kertas undi pilihanraya kerana banyaknya maklumat yang diterima. Maklumat yang entah benar entahkan tidak. Maklumat yang lengkap ataupun dipesong. Fitnah ataupun fakta! Tanpa kita sedari, setiap nafas kita kini diselubungi kekeliruan yang adakalanya kita raikan. Betapa kita perlu menggalas akibat hanya kerana keputusan silap yang kita lakukan. Silap bukan kerana tidak tahu, tetapi silap kerana tahu.

Rakyat tidak akan berhenti mencari maklumat, baik fakta mahupun fitnah. Untuk membalikkan masa bukan pilihan. Untuk menghadkan platform maklumat juga bukan pilihan. Kini terpulanglah kepada pihak yang berkenaan untuk mengatur strategi. Yang benar harus bijak menangkis yang khilaf. Yang ikhlas tidak boleh lagi ‘beri dan sembunyi’ kerana yang tidak amanah pasti menyambar peluang. Kekeliruan ini takkan berakhir tetapi kesilapan harus dielak.

Experience teaches slowly and at the cost of mistakes” - James A. Froude

2 comments: