Untungnya seorang Anwar Ibrahim.
TRANSKRIP UCAPAN ANWAR SEWAKTU MEMBELA DIRI DALAM KANDANG MAHKAMAH PADA 22 OGOS 2011 YANG MENUDUH HAKIM BERAT SEBELAH & KERAJAAN BERKONSPIRASI DALAM ISU LIWAT.
Keseluruhan proses ini hanyalah satu rekayasa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk melenyapkan saya dari medan politik dengan cara memenjarakan saya. Oleh itu, saya nyatakan di sini bahawa saya sudah hilang kepercayaan terhadap perbicaraan ini sungguhpun pasukan peguam pembela berusaha keras membuktikan betapa saya sebenarnya tidak bersalah. Sudah saya katakan dari awal lagi ini bukanlah perbicaraan jenayah.
Ianya satu rekayasa semata-mata untuk memastikan saya tidak mencabar mereka dari terus berkuasa.
Pada tahun 1998, Tun Dr Mahathir Mohamad taksub dengan manipulasi ala Machiavelli- politik menghalalkan cara- mengerah segenap kekuasaan negara memfitnah saya. Beliau berjaya menghumban saya ke penjara selama 15 tahun sungguhpun saya tidak bersalah. Itulah penindasan dan kezaliman yang dikenakan ke atas saya. Dan itulah juga bentuk penindasan dan kezaliman yang berterusan.
Dato’ Sri Najib Tun Razak menuruti jejak mentornya, menggunakan segenap kekuatan dan aparat kekusaan samada melalui media, polis, peguam negara dan badan kehakiman untuk merencat perlaksanaan keadilan dan melenyapkan saya dari terus berjuang.
Usaha untuk menghumban saya ke penjara menjadi keutamaan selepas kejayaan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum tahun 2008. Kebimbangan mereka menjadi kenyataan apabila sekatan undang-undang yang menghalang saya dari bertanding berakhir seterusnya membolehkan saya bertanding kembali dan menang. Kemenangan pilihanraya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh itu disusuli pula dengan terpilihnya saya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian ianya bukan sekadar kebetulan apabila konspirasi ini muncul tiga bulan selepas kejayaan Mac 2008 dan dakwaan terhadap saya dibuat hanya sebulan sebelum saya bertanding kerusi parlimen Permatang Pauh. Rentetan peristiwa yang terungkap sebelum pendakwaan dibuat menjadi bukti bahawa fitnah mutakhir ini dicedok daripada skrip fitnah 1998.
Hanya pada episod terbaru ini, tiada episod hitam mata lebam dan rakan subahat melakukan jenayah. Pada episod kedua ini, para konspirator telah melakukan beberapa perubahan plot agar ianya kelihatan lebih teratur. Fitnah terbaru kali ini menampilkan si pengadu sebagai seorang mangsa yang tidak berdaya. Ini dibuat setelah menyedari kaedah pengakuan ala Stalin dan kaedah mengheret mangsa-mangsa ke khalayak awam sebagai mereka yang bertaubat dan menyesali perbuatan terkutuk yang dilakukan sebelum ini sukar diterima malahan dicemuh rakyat.
Kerana itu semasa keseluruhan pertanyaan pendakwa terhadap pengadu, pihak pendakwa sedaya upaya berusaha melakar gambaran kononnya si pengadu ini seorang anak muda yang lemah, naif dan tidak berdosa.
Si pengadu digambarkan sebagai seorang yang menyatakan kebenaran serta kesaksiannya perlu dipercayai walaupun bukti menyatakan sebaliknya. Hakikatnya si pengadu hanyalah seorang yang disingkir dari universiti, diambil bekerja secara sambilan untuk menolong Ketua Staf saya dan semata-mata digunakan sebagai bidak catur demi niat jahat mereka terhadap saya. Namun mahkamah memutuskan selepas penggulungan kes pendakwaan bahawa dia sesungguhnya seorang saksi yang benar.
Konspirasi ini dirancang teliti dan melibatkan Perdana Menteri sendiri dan isterinya Rosmah Mansor. Berdasarkan pengakuan si pengadu, dia telah menemui Perdana Menteri dan isterinya di kediaman mereka dan di situlah dia mengadu kononnya menjadi mangsa jenayah seksual.
Kenyataan awal Dato’ Sri Najib bahawa beliau telah bertemu dengan pengadu semata-mata untuk berbincang mengenai biasiswa merupakan satu dusta dan hanya ditarik balik selepas pendedahan dibuat melalui media sosial dan blog-blog internet. Dato’ Sri Najib dan Rosmah agak ketara tidak mahu kelihatan dekat atau terlibat dengan konspirasi ini apatah lagi lantaran penglibatan mereka dalam beberapa skandal lain yang telah dibangkitkan di parlimen. Sehingga kini dokumen-dokumen tersebut belum dinafikan.
Ternyata pertaruhan dalam konspirasi ini mahal harganya. Maka konspirasi ini direncana teliti agar tidak menemui jalan buntu. Kemungkinan tersebut lebih nyata manakala BN yang dipimpin UMNO kian tergugat dan mungkin kehilangan kuasa kepada Pakatan Rakyat.
Pertuduhan utama konspirasi ini adalah untuk merekayasa fitnah terhadap saya kononnya melakukan liwat. Mereka berhasrat memburukkan peribadi dan kewibawaan saya menjelang kempen menjelang pilihanraya kecil tersebut. Bagi mencapai tujuan ini, serangan media ganas dan jijik dilancarkan serentak, antaranya dengan menganjurkan perhimpunan dan ceramah di mana tumpuan perdebatan itu bukanlah berkaitan isu-isu sosial, ekonomi atau politik. Kandungan ceramah mereka semata-mata berkenaan fitnah terhadap diri saya dengan tujuan mencemar akhlak saya di mata rakyat.
Para dalang tersebut, dengan alasan tersendiri memperolehi maklumat dalaman pihak pendakwaan yang kemudiannya digunakan maklumat tersebut untuk dijaja ke seluruh negara secara jelek dan lucah untuk membunuh keperibadian saya secara terancang sebab-sebab tertentu, memperolehi maklumat rahsia yang bakal digunakan pihak pendakwaan dan menjelajah keseluruh kawasan untuk memcemar keperibadian saya demi memastikan kekalahan pilihan raya kecil tersebut. Walaubagaimanapun Allah Maha Besar, Alhamdulilah saya memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti undi sebanyak 15,000.
Keghairahan melenyapkan karier politik tidak pernah pudar sama sekali. Dato’ Sri Najib menyangka dengan menghancurkan masa depan saya, maka sekaligus meranapkan prospek Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan.
Justeru, semuanya dikerahkan agar dapat menyumbat saya ke penjara sekali lagi serta memastikan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO terus memerintah.
Mengambil kira kesemua perkara di atas, saya nyatakan di sini bahawa perbicaraan ini walau apapun maksud dan tujuannya hanyalah suatu sandiwara. Saya menegaskan demikian bukan kerana saya membenci Yang Arif atau menyimpan dendam terhadap sesiapa. Apa yang saya nyatakan dari kandang tertuduh ini adalah apa yang saya yakin berdasarkan kebenaran. Dan keyakinan ini lahir hasil dari berkhidmat demi rakyat selama lebih dari 40 tahun, yang mana ¼ dari tempoh itu saya ditahan di Pusat Tahanan Kamunting dan kemudiannya dipenjara di Sungai Buloh.
Hakikatnya saya dihukum dan dipenjarakan bukan kerana saya bersalah, akan tetapi kerana keyakinan saya dan pastinya pada tahun 1998, saya merupakan ancaman jelas kepada pemerintahan kuku besi Mahathir yang berusia lebih dari dua dekad. Tetapi saya duduk di hadapan kamu di dalam kandang tertuduh hanya untuk bercakap apa yang saya tahu dan apa yang saya percaya dengan keyakinan terhadap kebenaran.
Dan keyakinan ini dibawa setelah berada di dalam perkhidmatan awam selama lebih daripada empat puluh tahun dimana suku daripadanya telah dihabiskan di balik tembok pemenjaraan di Kamunting dan di Sungai Buloh. Hakikatnya saya dihukum penjara bukan kerana apa-apa jenayah yang telah saya lakukan tetapi kerana kepercayaan dan keyakinan politik saya. Lebih tepat lagi, ianya kerana pada tahun 1998, saya telah menjadi ancaman yang jelas terhadap pemerintahan autokratik Mahathir yang berusia lebih dari dua dekad itu.
Saya nyatakan sedemikian sebagaimana yang saya ungkapkan sebelumnya kerana keluhuran mahkamah telah terjejas dan memperlihatkan gejala gejala perbicaraan sandiwara dimana skripnya telahpun dirangka dan hukumannya telahpun termaktub.
Saya nyatakan sedemikian kerana sebagai seorang hakim yang mengadili perbicaraan ini, anda tanpa ragu lagi menunjukkan sikap anda yang berat sebelah itu. Saya nyatakan sedemikian kerana anda enggan menarik diri walaupun bukti sikap berat sebelah anda sebagai hakim terhadap saya menggunung banyaknya.
Saya menegaskan sedemikian kerana anda membiarkan sahaja segala pencerobohan yang melanggar peraturan dan prosedur manakala anda tidak menghiraukan bantahan saya berkenaan kecurangan pihak pendakwa. Sedangkan penyelewengan serta kecurangan itu pastinya membuatkan seorang hakim yang adil menyedari akan niat jahat pihak pendakwaan.
Doktor tersilap potong kaki pesakit
6 days ago
No comments:
Post a Comment