Friday, April 16, 2010

JANJI TAK DITEPATI, MEROSAKKAN ADALAH..

" Ada logo DAP dalam manifesto di atas?? Kenapa ramai DAP jawat EXCO kini ??". DASAR PUTAR BELIT dan PENIPU, TAK TELUS!!!


UTUSAN: Apakah pandangan Datuk Seri setelah genap dua tahun pentadbiran kerajaan campuranPKR, DAP dan Pas mentadbir di Selangor?

MOHAMAD KHIR: Setelah dua tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor ini apa yang kita nampak, prestasi ekonomi negeri tidak begitu memberangsangkan terutamanya dari segi perolehan pelaburan langsung asing (FDI) yang mencatatkan penurunan kepada RM6.7 bilion pada 2009.

Berbeza dengan jumlah FDI pada 2008 yang mencatatkan angka sebanyak RM11.8 bilion dan jumlah tersebut merupakan hasil strategi ekonomi kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) yang berjaya menarik pelaburan sepanjang 2006-2007, iaitu sebelum pilihan raya umum. Penurunan FDI di Selangor ini disumbang atas kegagalan kerajaan negeri pakatan pembangkang melaksanakan rancangan untuk menarik pelabur ke Selangor.

Malah, kerajaan negeri juga turut bermasalah dari segi imbangan perbelanjaan dan pendapatan. Pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM1.4 bilion tidak setara dengan perbelanjaan negeri sebanyak RM2 bilion yang menyebabkan bajet kerajaan negeri mengalami defisit.

Dari aspek sosial juga turut memberi kesan negatif berikutan pertambahan rumah urut di Selangor yang kini dianggarkan sebanyak 4,000 buah berbanding 700 pada pentadbiran BN dahulu yang membekukan lesen pusat berkenaan. Malah pertambahan pusat urut juga turut mengundang kepada masalah sosial di kalangan rakyat.

Manifesto pakatan pembangkang, bagaimana dengan pandangan Datuk Seri?

Manifesto pakatan pembangkang pada mulanya yang sebahagian kecil dilaksanakan seperti pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu iaitu bersamaan RM11.80 kepada isi rumah. Memang pelaksanaan manifesto ini ada memberi kebaikan, akan tetapi ia sebenarnya tidak mencapai sasaran.

Ini kerana, sebilangan besar rakyat yang tinggal di flat dan pangsapuri tidak menikmati kemudahan tersebut kerana mereka perlu menukar meter pukal kepada individu terlebih dahulu. Sepatutnya jika kerajaan negeri mahu melaksanakan manifesto tersebut, mereka perlu memastikan pengunaan meter individu dikuatkuasakan terlebih dahulu.

Perlu diingat bahawa majoriti mereka yang tinggal di flat, pangsapuri kos sederhana terdiri dari golongan berpendapatan rendah. Bagi saya pelaksanaan air percuma itu lebih menguntungkan mereka yang berpendapatan pertengahan dan tinggi yang tinggal di banglo atau rumah teres.

Selain itu, pemberian insentif anak ke universiti yang layak juga turut tidak menyeluruh. Ketika BN dahulu, kita memang ada beri insentif berkenaan dan ia dilakukan secara berterusan. Sebaliknya kerajaan negeri sekarang difahamkan tidak melaksanakan secara keseluruhan dan hanya dibuat mengikut kawasan tertentu sahaja, bukan seluruh Selangor. Sama juga dengan pemberian bantuan khairat kematian yang dilihat hanya bersifat selektif.

Malah, janji kerajaan negeri untuk memberikan elaun kepada ibu tunggal sebanyak RM600 sebulan dan RM75 sebagai elaun kepada suri rumah yang tidak bekerja juga tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini, termasuklah janji untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus bagi kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial tidak ditunaikan.

Bagaimana dengan slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)?

Slogan itu juga apa yang kita nampak hari ini hanya kosong semata-mata, tidak tercapai. Sebagai contoh, perolehan perlombongan pasir yang hanya mencatatkan RM4 juta sahaja daripada unjuran yang sepatutnya iaitu RM170 juta setahun. Sebelum ini, kerajaan negeri mengatakan untuk menggunakan hasil berkenaan untuk membantu rakyat di Selangor.

Tetapi sehingga ke hari ini, hasil berkenaan tidak disalurkan mengikut janji yang dibuat kepada rakyat. Apa yang pastinya, kita lihat isu pasir turut terdedah dengan masalah ketirisan sehingga wujud pelbagai dakwaan salah guna kuasa melibatkan kontrak perlombongan pasir termasuk rasuah dan pelbagai laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan di dada-dada akhbar.

No comments:

Post a Comment